Tugas berat pikul amanah Pejuang - Utusan Malaysia

Tugas berat pikul amanah Pejuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mengakui memikul tugas berat setelah dipilih sebagai calon sulung Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang baru ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peguam syarie berusia 38 tahun itu berkata, apatah lagi amanah itu diberikan sendiri oleh Dr. Mahathir yang mahu melihat impak aspirasi perjuangan bekas Perdana Menteri itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Menurut Amir Khusyairi, beliau menyahut amanah yang diberikan itu sebagai cabaran dan motivasi dirinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tak nafikan ini satu tugas berat, amanah sangat berat yang saya terima. Selepas diumum sebagai calon, rasa seram sejuk, dua tiga hari tak boleh tidur.

“Tapi saya akan tarik amanah tersebut letak dalam diri, saya betul-betul terima cabaran tersebut dan buat sedaya upaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Amir Khusyairi menegaskan, pesanan Dr. Mahathir menjadi panduan untuk beliau dalam mengharungi kempen PRK Slim.

“Saya pegang tiga pesanan Tun iaitu tekun, usaha sungguh-sungguh dan jangan berhenti untuk berusaha.

“Saya simpan tiga pesanan Tun dalam buku kecil yang saya bawa ke mana-mana. Tun juga berpesan agar saya terus jadi diri saya yang sebenar,” katanya.

Menurutnya, Dr. Mahathir juga tidak menetapkan sebarang sasaran khususnya dari segi undi yang mampu diraih oleh beliau.

“PRK ini pentas untuk mencipta impak positif gagasan yang Tun nak bawa dan tak semestikan ia diterjemahkan pada keputusan pilihan raya.

“Ini langkah pertama Pejuang. Impaknya akan menjadi pencetus kepada gerakan gagasan Pejuang pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Khusyairi mengakui tidak sabar menunggu hari mengundi Sabtu ini bagi melihat hasil daripada usaha yang dilakukan di sepanjang kempen PRK Slim. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×