Zulkiflee mula berkecimpung dalam sukan ragbi sejak peringkat sekolah dan bakatnya mula dikembangkan ketika bersama skuad kebangsaan sejak berusia 18 tahun, menerima anugerah disampaikan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Pemain berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu berkata, dia mahu melakar lebih banyak kejayaan bersama skuad kebangsaan, dan anugerah tersebut menyuntik semangatnya untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Zulkiflee yang sedang menjalani kursus Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama sembilan bulan berkata beliau tetap bersedia untuk membantu skuad kebangsaan sekiranya khidmatnya diperlukan.

“Syukur, Alhamdullilah. Terima kasih kepada semua pihak iaitu pasukan, jurulatih serta persatuan yang membimbing saya serta rakan sepasukan sehingga berada pada prestasi yang terbaik. Kejayaan pasukan ragbi adalah semangat sepasukan yang diberikan semua pemain.

“Saya akan tetap bersedia mewakili negara jika diberi peluang, selepas saya selesai rekrut kadet Inspektor (PDRM). Ketika ini fokus adalah dengan PDRM kerana ini adalah kerjaya dan masa depan saya,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu turut membantu skuad kebangsaan mencipta sejarah muncul juara Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Satu pada 2017 dan meraih pingat emas buat julung kalinya dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Pasukan ragbi 7s pernah menjuarai Kejohanan Ragbi Asia Bawah 20 tahun dua tahun berturut-turut 2011 dan 2012.

Sementara itu, pemain ragbi 15 sebelah, Amirul Sani serta pemain wanita kebangsaan, Rozliana Ridwan turut menerima anugerah Pemain Terbaik Peringkat Antarabangsa mengikut kategori masing-masing.

Bekas jurulatih kebangsaan Lee Nyuk Fah pula menerima Anugerah Khas Ikon Ragbi Negara, manakala Wan Ibrahim Wan Chik Menerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup. - BERNAMA

SENARAI PENERIMA ANUGERAH RAGBI KEBANGSAAN 2019

-----------------------------------------------

Anugerah Pemain Lelaki Terbaik 15s Peringkat Antarabangsa: Amirul Sani

Anugerah Pemain Lelaki Terbaik 7s Peringkat Antarabangsa: Zulkiflee Azmi

Anugerah Pemain Wanita Terbaik Peringkat Antarabangsa: Rozliana Ridwan

Anugerah Pemain Import Terbaik Peringkat Antarabangsa: Timoci Vunimoku

Anugerah Pemain Harapan Lelaki Terbaik 15s Peringkat Antarabangsa: Amirul Mukminin Amizan

Anugerah Pemain Harapan Lelaki Terbaik 7s Peringkat Antarabangsa: Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi

Anugerah Pemain Harapan Wanita Terbaik Peringkat Kebangsaan: Nur Natasha Hairul Azhar