Zamarul, 28, merupakan yang terbaik antara sembilan juara kategori pada akhir kejohanan yang dianjurkan Persatuan Bina Badan Malaysia.

Terdahulu anak kelahiran Nabawan, Sabah yang mewakili pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu memenangi kategori light Welterweight yang melayakkannya ke pertandingan ‘Juara Antara Juara’ kejohanan bina badan berkenaan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas kejohanan itu, Zamarul berkata ia adalah kali kedua beliau merangkul gelaran berkenaan selepas kejohanan itu pada 2017, namun telah tiga kali muncul juara secara berturut-turut dalam kategori Welterweight.

“Saya telah terlibat dalam sukan ini sejak 2013 dan bekerja keras untuk melayakkan diri ke kejohanan ini dan saya sangat gembira kerana sekali lagi berjaya merangkul gelaran Mr Malaysia,” katanya.

Beliau berkata bukan perjalanan yang mudah untuk mencapai sehingga peringkat itu, kerana perlu mengeluarkan banyak wang untuk menanggung perbelanjaan terutama makanan dan makanan tambahan.

“Bagaimanapun saya cukup berterima kasih dengan sokongan yang diberikan rakan-rakan dan keluarga, khususnya kepada isteri saya Zmazanriah Hanum Madin yang tidak pernah putus asa membantu saya.

“Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Gazali Yunus yang merupakan jurulatih saya, kerana tidak pernah gagal mengingatkan dan membimbing saya dalam menjalani latihan setiap hari,” katanya.

Seramai 130 atlet mewakili 14 kontinjen negeri dan dua badan beruniform iaitu PDRM, dan Angkatan Tentera Malaysia, berentap bagi merebut gelaran Mr Malaysia 2019 pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan ke-50 itu, yang bermula Khamis lepas sehingga hari ini. - BERNAMA