Atlet berusia 29 tahun dari Batu Kawa, Kuching itu berkata, beliau akan mengambil cuti rehat dua atau tiga hari sebelum pulang ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan untuk meneruskan latihan dalam usaha meraih emas di Jakarta.

“Saya tidak boleh mengambil cuti panjang, perlu meneruskan persiapan untuk Sukan Para Asia kerana meletakkan harapan di sana. Sudah pasti saya akan menerima cabaran sengit daripada peserta China dan Iran, tetapi angkatan kami lebih kurang sahaja.

“Saya rasa baru-baru ini, (jumlah) angkatan mereka ada meningkat sedikit, jadi saya pun harus meningkatkan usaha,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), sejurus selepas tiba dari Gold Coast bersama-sama skuad powerlifting, renang dan gimnastik artistik.

Pemenang pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu meraih perak kategori heavyweight lelaki selepas mencatatkan 188.7 mata di Carrara Sports & Leisure Centre pada Selasa lalu, manakala pingat emas menjadi milik Abdul Azeez Ibrahim dari Nigeria yang mencatatkan 191.9 mata, sementara Sachin Chaidhary dari India meraih gangsa dengan 181 mata.

Ditanya mengenai perancangan untuk Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebanyak RM40,000 yang bakal diterimanya atas kejayaan meraih perak itu, beliau mahu menyimpan duit itu dan merancang untuk membuka sebuah restoran di kampungnya pada masa depan.

Sementara itu, ketua jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam yakin Yee Khie mampu menghadiahkan pingat emas buat negara di Jakarta jika dapat mengatasi atlet dari China, Iran dan Iraq, kerana kini berada pada kedudukan keempat dunia selepas menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding empat tahun yang lalu. – BERNAMA