Pengurus Besar Yakeb, Zuhairi Abdul Manaf berkata, jumlah ahli Yakeb kini mencecah lebih 3,000 orang dan dana terkumpul yayasan tersebut setakat ini diakui tidak mencukupi bagi menampung keperluan ahli yang semakin bertambah saban tahun.

Kata beliau, selain menerima sumbangan pelbagai pihak, sumber utama tabung Yakeb selama ini adalah dana yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan serta Kementerian Belia dan Sukan.

"Perbincangan untuk mendapatkan peruntukan masih berlangsung dengan Kementerian Kewangan. Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan pula telah pun menyalurkan dana sebanyak RM250,000.

"Dengan dana yang terhad ini, kita cuba sebaik mungkin untuk menggerakkan perkhidmatan Yakeb, terutama Skim Bantuan Khas kepada ahli seperti pembiayaan rawatan hospital," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selepas meluangkan masa menziarahi dan memberi sumbangan kepada bekas pemain bola sepak negara, Awang Essa yang menderita masalah tulang belakang di kediamannya di Telipot, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK), Datuk Takiyuddin Hassan menggesa Kementerian Belia dan Sukan supaya segera mengaktifkan semula Yakeb yang dilihat semakin tidak mampu memainkan peranan ekoran masalah kekurangan dana yang kritikal.

Mengulas lanjut, Zuhairi memberitahu, pihaknya merancang mewujudkan Tabung Wira Sukan Negara tahun depan bagi membolehkan pelbagai pihak yang prihatin memberi sumbangan dan seterusnya membantu Yakeb memainkan peranan dengan lebih berkesan.

Terdahulu, kehadiran rombongan Yakeb dilihat menceriakan Awang apabila turut membawa bersama beberapa bekas rakan sepasukan beliau iaitu Apandi Yusof, Nik Fauzi Hasan, Yasin Mohd. Noor, Wan Aziz Wan Ahmad, Zakarian Husin, Aziz Mahmud dan Azam Abas.

Awang Essa, 72, merupakan penjaga gol pasukan kebangsaan pada 1969 selain pernah berkhidmat sebagai jurulatih bola sepak negara sekitar 1970-an.

Beliau kini hanya mampu terlantar di atas katil dan tidak mampu bergerak sejak September lalu akibat masalah tulang belakang. - UTUSAN ONLINE