Pemain pilihan ke-37 dunia itu bersama dengan Mohd Nafiizwan dan Ivan Yuen, diletakkan sebagai pilihan ke-5/8 untuk pertandingan tersebut, dan ketiga-tiga mereka mendapat 'bye' untuk pusingan pertama.

Eain Yow dijangka berdepan dengan penyandang juara, Max Lee dari Hong Kong pada suku akhir.

Pemain berusia 21 tahun itu menunjukkan prestasi baik sehingga mampu melangkah ke suku akhir dalam Terbuka Macau awal bulan ini, di mana dia menewaskan Mohd. Nafiizwan dalam lima set pada pusingan kedua.

Wakil India, Saurav Ghosal, 32, diletakkan selaku pilihan pertama setelah mempamerkan prestasi baik sehingga berjaya melonjak kedudukannya dalam ranking ke-10 dunia.

Bagaimanapun, Saurav tidak memiliki rekod yang baik setiap kali beraksi di rantau ini setelah dia hanya merangkul pingat perak pada Kejohanan Asia 2014, selain tumpas kepada Leo Au dalam Kejohanan Individu Asia pada 2017.

Saurav pastinya akan berusaha keras untuk mengembalikan gelaran juara tahun ini, apabila dia memulakan kempennya bertemu, sama ada pemain Kuwait, Ali Alshammiri atau David Pelino dari Filipina, esok.

Sementara itu, dalam saingan wanita, Low Wee Wern mengetuai cabaran negara setelah dia diletakkan selaku pilihan ke-3/4 kejohanan. Pemain berusia 28 tahun dari Pulau Pinang itu yang melangkah ke perlawanan akhir pada kejohanan di Macau dijadualkan menentang rakan senegara, Chan Yiwen dalam pusingan kedua.

Turut beraksi pada kejohanan itu, juara kebangsaan S. Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan keenam. Anak kelahiran Kedah itu, akan memulakan kempennya menentang Pranghatai Phongrattana dari Thailand dalam pusingan kedua, dan dijangka mara ke suku akhir untuk bertemu dengan Joey Chan dari Hong Kong.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Individu Asia ialah pada 2011, yang menyaksikan Mohd Nafiizwan merangkul gelaran juara, manakala, Datuk Nicol David muncul sebagai pemenang dalam saingan wanita. - BERNAMA