Hal demikian kerana dia sudah pun menjadi atlet wanita pertama Malaysia bersaing dalam separuh akhir 100m Sukan Komanwel dalam tempoh 20 tahun setelah melepasi pusingan pertama dengan masa 11.64 saat untuk menjadi pelumba ketiga terpantas dalam saringan ketiga.

Atlet negara terakhir melakukannya sebelum ini adalah G. Shanti dalam temasya di Kuala Lumpur pada 1998.

Bagaimanapun, catatan masa Zaidatul lebih perlahan dalam separuh akhir iaitu 11.84s untuk menduduki tempat ketujuh daripada lapan peserta. Dua pelari daripada setiap separuh akhir dan dua peserta terpantas di tempat ketiga layak ke akhir.

Zaidatul yang bersaing dalam separuh akhir ketiga iaitu yang terakhir berkata, dia berpuas hati dengan lariannya hari ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan catatan masa saya. Bagi saya berlari di luar negara bersama pelari hebat akan menjadikan saya lebih baik,” katanya.

Peringkat separuh akhir melibatkan Zaidatul dimenangi oleh Christina Williams dari Jamaica yang mencatat masa 11.22s, diikuti oleh peserta dari Trinidad & Tobago, Reyare Thomas yang menamatkan larian dengan masa 11.36s.

Perlumbaan akhir akan berlangsung esok.

Mengenai catatan masanya dalam separuh akhir lebih perlahan berbanding ketika pusingan pertama, Zaidatul, 25, berkata, dia mungkin tidak mendapat rehat secukupnya kerana selang masa yang agak pendek.

“Tetapi saya berpuas hati kerana dapat berlari dua kali. Jurulatih saya M. Balamurugan juga puas hati,” katanya, yang merekodkan masa peribadi terbaik 11.61s di Kuala Lumpur tahun lalu.