Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bertitah kali pertama universiti itu menganjurkan kejohanan besar woodball ialah pada November 2013 apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Universiti Asia Pertama dan disusuli Kejohanan Woodball Universiti Dunia ke-4 pada Oktober 2014.


Pengalaman penganjuran kejohanan besar itu merupakan kelebihan kepada UniMAP dalam menganjurkan Kejohanan Woodball Dunia 2020, titah baginda selepas sesi penggambaran video rasmi berjudul 'Welcome To Perlis 2020' di sini semalam.


Kejohanan dunia itu akan diadakan di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP.

Perlis mempunyai tujuh gelanggang woodball kekal dan merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang menganjurkan pertandingan liga sepanjang tahun bagi merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra, Piala Tuanku Canselor UniMAP serta Piala Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPS). - BERNAMA