Setiausaha Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Jamaluddin Salim berkata, ia berikutan tuan rumah Filipina dijangka membariskan pemain-pemain kacukan yang sedang bermain di negara Oceania seperti New Zealand dan Australia dalam usa­ha me­rampas pingat emas itu.

"Kita sudah minta pemain-pemain kita agar tidak leka dan perlu membuat persiapan lebih rapi kerana saingan sengit kali ini. Filipina dijangka memang­gil pemain-pemain mereka yang mempunyai dua kerak­yatan yang sedang menetap atau belajar di New Zealand dan Australia," katanya.

Berikutan itu, KRM telah me­rangka program latihan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melatih 16 pemain secara sepenuh masa, selain menghantar mereka menyertai beberapa kejohanan luar negara.

"Kita telah menetapkan beberapa kejohanan yang akan disertai dan setiap kejohanan mesti ada KPI (petunjuk prestasi utama) yang perlu dicapai. Antara kejohanan yang dirancang ialah Borneo Sevens pada Mac, program ke Jepun pada Mei, kemudian Asian Sevens Series pada Ogos.

"Program memang dah ada, cuma tunggu bajet dari MSN untuk melaksanakannya. MSN juga bersetuju untuk menambahkan empat pemain selepas pada awalnya hanya membenarkan 12 pemain," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, KRM telah memilih 10 pemain daripada skuad yang meraih emas pada tahun lepas dan selebihnya akan dipilih daripada skuad Asian Sevens Series dan Sukan Asia Jakarta-Palembang, tahun ini.

Bagi pasukan wanita 7s negara yang meraih pingat gangsa pada Sukan SEA lalu, Jamaluddin memberitahu, berikutan peruntukan MSN untuk skuad itu tidak setinggi jumlah yang diterima oleh skuad lelaki kerana perbezaan warna pingat, KRM akan menggunakan sebahagian daripada tajaan RM2 juta daripada UEM Group bagi 2019 untuk persiapan pasukan itu. – BERNAMA