Pengarah Kejurulatihan SRAM, S. Maniam berkata, Singapura dan Filipina merupakan pencabar utama dalam kejohanan tersebut, namun berdasarkan pengalaman mereka, Malaysia pernah dikejutkan dengan tuan rumah pada edisi lalu.

“Kami menyasarkan empat emas dalam empat acara (perseorangan lelaki dan wanita, berpasukan campuran dan beregu campuran). Malaysia adalah pasukan kegemaran untuk mendominasi perlawanan.

"Bagaimanapun berdasarkan pengalaman kami di temasya sama di Kuala Lumpur, skuad negara pernah dikejutkan dengan kekalahan kepada Filipina.

“Dalam aksi sama nanti, tuan rumah boleh menjadi pesaing sengit kerana temasya ini dianjurkan di negara mereka. Singapura juga sentiasa bekerja keras dan boleh melakukan kejutan pada bila-bila masa.

“Bagaimanapun semua pemain kita sudah sedar berhubung risiko ini dan mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kami juga telah belajar daripada kesilapan yang lalu dan tidak akan membenarkan perkara sama berulang,” katanya pada sidang akhbar Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Pada edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad negara meraih enam pingat emas, empat perak dan dua gangsa.- UTUSAN ONLINE