MAS pertaruh penerjun muda di Kejohanan Dunia

MAS pertaruh penerjun muda di Kejohanan Dunia

Atlet Sarawak, Elvis Priestly Anak Clement antara muka baharu yang akan sertai Kejohanan Dunia. Gambar; MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem terjun negara akan mempertaruhkan muka baharu dan penerjun muda di Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Singapura pada bulan depan.

Pemilihan atlet untuk menyertai kejohanan berkenaan dibuat berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian Skor Kelayakan Minimum (MQS) yang ditetapkan, tanpa kompromi.

“Sekarang kita kekurangan penerjun wanita. Jadi kita cuba asah bakat pelapis ke arah podium supaya mereka boleh menyertai temasya seperti Sukan Asia dan Komanwel.

“Sekarang kita lebih fokus kepada kualiti berbanding kuantiti,” kata Pengarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee.

Pemilihan penerjun baharu itu dibuat susulan ‘ketiadaan’, Nur Dhabitah Sabri, namun semua itu tidak menjadi isu buat kem terjun negara kerana masih mempunyai atlet pelapis.

Ketiadaan Dhabitah turut menyaksikan Malaysia tidak menghantar wakil wanita dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita kerana tiada penerjun yang berjaya melepasi MQS.

“Acara 3m papan anjal wanita memang tak ada calon disebabkan MQS tidak layak. Sekarang semua berdasarkan data. Kalau tak capai MQS, kita tak hantar sebab MSN (Majlis Sukan Negara) nak atlet yang pergi terus ada hasil,” tegasnya.

Skuad negara masih menaruh harapan tinggi ke atas gandingan Datuk Pandelela Rinong dan juara Sukan SEA 2023, Lee Yiat Qing dalam acara 10m platform seirama wanita yang dilihat berpotensi mencabar podium.

“Kita masih letak harapan pada seirama 10m. Pasangan dia (Pandelela) adalah Yiat Qing, muka baharu dan juga juara Sukan SEA lalu,” katanya.

Keseluruhannya, tujuh atlet disenaraikan ke Kejohanan Dunia iaitu lima lelaki dan dua wanita dengan sasaran minimum ke final dalam acara masing-masing.

Antara yang menarik perhatian ialah pemenang pingat emas SUKMA Sarawak 2024, Elvis Priestly Anak Clement yang menunjukkan konsistensi dalam acara platform, selain Muhammad Syafiq Puteh yang akan mengetuai cabaran papan anjal individu lelaki.

Bagaimanapun, skuad lelaki turut kelihatan tempang tanpa kelibat atlet terjun ke Sukan Olimpik Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises yang mengalami kecederaan ketika ini.

“Elvis sangat konsisten dan mencapai MQS lebih lima ke enam kali. Jadi kita hantar dia. Kalau macam Bertrand, dia tak qualify dan dia juga sekarang alami kecederaan. Jadi kita tak boleh hantar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN