Paling kecewa sudah tentu Jun Hoong yang memegang status sebagai juara dunia acara ini apabila hanya mengumpul 332.85 mata berbanding Pandelela yang lebih baik sedikit sahaja iaitu 340.20 mata.

Emas acara ini dimenangi penerjun Australia, Melissa Wu yang mengumpul 360.40 mata daripada lima terjunan yang dilakukan pada aksi final itu manakala perak menjadi milik juara bertahan dari Kanada, Meaghan Benfeito (359.75 mata) dan gangsa dimenangi penerjun England, Lois Toulson (344.20 mata).

“Selepas ini saya perlu lakukan lebih baik bagi terjunan pertama dan terakhir yang menjadi punca kekalahan hari ini. Tetapi inilah sukan, ada menang dan kalah.

“Yang penting saya perlu perbaiki mental dan fizikal saya,” katanya yang tidak akan menyertai apa-apa lagi acara di sini selepas ini kecuali menunggu upacara penutup temasya sahaja.

Sementara itu, Ooi Tze Liang gagal mempertahankan pingat emas acara 3 meter papan anjal lelaki yang dimenanginya empat 
tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Pada aksi final hari ini, penerjun kelahiran Pulau Pinang itu hanya mampu menduduki tempat ke-10 daripada 12 peserta yang 
mengambil bahagian.

Tze Liang, 24, mengumpul 373.75 mata daripada enam terjunan yang dilakukan. Emas acara ini dimenangi penerjun England, Jack Laugher yang memungut 519.40 mata.

Pingat perak pula dimenangi penerjun Kanada, Philippe Gagne (452.70 mata) manakala gangsa menjadi milik penerjun Australia, James Connor (438.50 mata).

Seorang lagi penerjun negara yang layak ke final, Chew Yiwei menduduki tempat ke-11 dengan memungut 347.20 mata.

Esok, tiga lagi pingat emas ditawarkan dalam sukan terjun iaitu menerusi 1 meter papan anjal wanita (Jasmine Lai, Kimberly Bong, Nur Dhabitah Sabri), 10 meter platform seirama lelaki (Jelison Jabilin, Ooi Tze Liang, Hanis Nazirul Jaya Surya, Chew Yiwei) dan 3 meter papan anjal seirama lelaki (Gabriel Gilbert Daim, Muhammad Syafiq Puteh, Tze Liang, Yiwei).