Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kertas kerja berhubung perkara itu telah diteliti dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dalam waktu terdekat.

"Penutupan ISN yang diselia oleh kerajaan pusat di bawah Institut Sukan Negara sebelum ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan sukan negeri.

"Oleh itu, kita berhasrat untuk mewujudkan institut kita sendiri dan Insya-Allah kita akan cuba dapatkan kepakaran daripada tenaga pengajar yang pernah berkhidmat dengan Institut Sukan Negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.

Beliau berkata penubuhan ISN yang bertempat di Kompleks Sukan Gong Badak itu dianggarkan menelan belanja antara RM3 juta hingga RM4 juta bagi tujuan pembelian peralatan serta kemudahan terkini sukan.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri kini giat menjalankan rundingan dengan penaja yang berminat dan mempunyai kepakaran tertentu dalam bidang sukan.

"Kalau kita tak dapat adakan semua peralatan dalam masa sama, mungkin kita akan buat secara berperingkat mengikut keutamaan.

"Antara tumpuan serta persediaan kita pastilah untuk menghadapi acara sukan besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 dan kita akan perhalusi keutamaan-keutamaan ini," katanya. - BERNAMA