Jumlah itu kurang separuh daripada 144 pingat emas yang diraih Malaysia dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, itu adalah anggaran awal selepas mendapati sukan dan acara yang kerap menjadi penyumbang pingat emas negara tiada dalam senarai 529 acara dipertandingkan.

“Berdasarkan senarai awal tersebut kita dijangka kehila­ngan banyak peluang pingat emas di Manila kerana beberapa acara utama tidak dipertandingkan seperti 2017.

“Kita jangka hanya mampu meraih 12 hingga 15 peratus pi­ngat emas daripada 529 yang ditawarkan.

“Bagaimanapun kami masih mendesak Majlis Olimpik Malaysia dan persatuan sukan kebangsaan melalui persatuan sukan di Filipina untuk mengemukakan rayuan agar mema­sukkan semua acara yang lazimnya dipertandingkan dalam terjun, berbasikal trek, gimnastik, pencak silat serta tenpin boling.

“Sementara sukan-sukan baharu yang akan dipertandingkan seperti kurash, hoki dalam air, obstacle race, sambo/vovinam pula, kita masih belum buat keputusan.

“Kita akan lihat prestasi mereka sama ada boleh dibantu menyertai Sukan SEA atau tidak kerana kita tidak mahu isu Sukan Asia lalu berulang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada Sukan Asia di Indonesia, penyertaan atlet papan selaju negara dikritik hebat kerana berada pada tahap yang amat rendah.

Dalam Sukan SEA 2019, sukan yang sering menjadi lubuk emas Malaysia dikecilkan jumlah acara malah penganjur turut menyenaraikan sukan-sukan baharu memihak tuan rumah.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan SEA ialah 144 emas, 91 perak dan 86 gangsa di Kuala Lumpur tahun lalul.

Sekiranya sasaran 63 hingga 79 emas menjadi buruan Malaysia maka ia hampir me­nyamai pencapaian 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand yang menyaksikan negara membawa pulang 68 emas.