KERK CHEE YEE
KERK CHEE YEE 

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, kadar baharu bayaran elaun kepada atlet dibahagikan kepada dua iaitu Elaun Asas Sukma dan Projek Emas.

Menurutnya, Elaun Asas Sukma sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada atlet atau pasukan yang akan mewakili kontinjen negeri dan mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk prestasi di Sukma yang terdahulu.

“Atlet atau pasukan yang bukan dalam program persediaan Sukma juga boleh diserap sekiranya berjaya melepasi kelayakan yang ditetapkan sebelum senarai panjang (long list) pendaftaran rasmi ditutup.

“Bagi Projek Emas pula ia merupakan insentif khas kepada atlet yang pernah memenangi pingat dan berpotensi untuk mendapat pingat emas di Sukma 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Chee Yee, bagi atlet yang menerima Elaun Asas Sukma dan layak masuk ke Projek Emas, pemberian elaun akan ditambah RM300 sebulan untuk emas, diikuti perak (tambahan RM100 sebulan) dan elaun gangsa tambahan RM50 sebulan.

Katanya, penambahbaikan kadar elaun kepada atlet ini akan meningkatkan motivasi setiap atlet untuk meningkatkan pencapaian mereka.

Bagi jurulatih pula, kata beliau, Program Pembangunan, Pusat Latihan Negeri (PLN) mempunyai tiga orang Jurulatih Sepenuh Masa (JPM) dan 25 orang Jurulatih Separuh Masa (JSM) yang dicadangkan akan dilantik sebagai jurulatih di bawah Program Pembangunan PLN mulai tahun ini.

Katanya, kenaikan kadar gaji atau elaun jurulatih yang berpatutan mengikut kelayakan yang dimiliki mengikuti Sijil Penuh Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) iaitu Sijil Sains Sukan dan Sijil Kejurulatihan Spesifik akan dilaksanakan sebagai usaha untuk memastikan program pembangunan berjalan dengan baik.

“Bagi jurulatih, tambahan elaun dari RM50 sehingga RM900 akan dibuat mengikut SPKK,” jelasnya.

Majlis Sukan Negeri katanya, sedang menyelaraskan Mesyuarat Jawatankuasa Program dengan semua pihak yang berkaitan termasuk persatuan-persatuan sukan yang terlibat dalam Sukma 2020.

Tambah Chee Yee, program-program Sukma 2020 akan bermula selepas penyelarasan ini disiapkan dijangka dalam bulan ini. - UTUSAN ONLINE