Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata prestasi atlet-atlet dalam Sukma kali ini boleh diukur dari segi rekod yang dipecahkan ataupun yang telah diperbaharui.

“Temasya kali ini menyaksikan sebanyak 57 rekod Sukma telah dipecahkan berbanding kira-kira 30 dalam edisi 2014, bermakna tambahan hampir 27 rekod baharu.

“Dari segi rekod kebangsaan menyamai jumlah dengan (Sukma) 2014 iaitu enam rekod kebangsaan dipecahkan, tetapi kali ini melibatkan lebih banyak sukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod-rekod tersebut, rumusan prestasi atlet remaja yang berusia bawah 21 tahun mencatat pe­ningkatan prestasi yang lebih baik dalam Sukma kali ini.

Jelasnya, ini menunjukkan bahawa program latihan persediaan atlet untuk tempoh dua tahun selepas 2014 berjalan dengan jayanya.

“Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri, sekolah-sekolah sukan di luar sana yang telah membantu negeri untuk membentuk atlet masing-masing ke arah Sukan SEA,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai prestasi atlet yang dilihat berpotensi membantu negara dalam Sukan SEA 2017, beliau memberitahu pihaknya memang amat berharap atlet seperi Khairul Hafiz Jantan dan rakan-rakannya dapat memberikan sumbangan kepada kontinjen negara dalam temasya terbesar di Asia Tenggara itu.

“Sudah tentu prestasi Khairul Hafiz dan rakan-rakannya dalam sukan olahraga memberangsangkan, dan kita memang mengharap­kan mereka memberikan prestasi yang baik dalam Sukan SEA 2017.

“Khairul Hafiz dan juga rakan-rakannya telahpun berada dalam senarai program Kita Juara, dan kemungkinan besar Khairul Hafiz akan dinilai oleh Program Podium untuk diberikan satu lagi pakej yang lebih baik,” tambahnya.

Selain atlet kelahiran Melaka berusia 18 tahun itu, Ahmad Shapawi berkata terdapat juga beberapa atlet muda lain seperti Muhammad Irfan Shamshuddin (lempar cakera), Nauraj Singh (lompat tinggi), R. Khirthana (lompat kijang) dan juga pelari-pelari pecut yang turut mempamerkan pencapaian baik.

“Jadi saya rasa apa yang penting selepas ini ialah kerjasama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), MSN serta rakan-rakan lain di sekolah sukan untuk kita sediakan satu program jangka sederhana bagi Sukan SEA dan juga jangka panjang,” katanya.