Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, secara realitisknya hanya 56 jenis sukan akan dipertandingkan seperti yang diluluskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Mei lalu.

“Setakat ini rayuan memang sangat sukar. Sejujurnya, 56 jenis sukan sahaja (akan dipertandingkan). Kalau ada pun sedikit perubahan, ia mungkin dalam jumlah acara yang dipertandingkan.

“Keputusan mengenai acara itu akan diumumkan POC (Majlis Olimpik Filipina) pada Januari ini,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Meskipun belum menetapkan sebarang sasaran untuk Sukan SEA 2019, Malaysia dilihat hanya mampu meraih maksimum sekitar 79 pingat emas dalam edisi ke-30 itu menerusi 529 acara yang bakal dipertan­dingkan.

Jumlah itu kurang separuh daripada 144 pingat emas yang diraih Malaysia dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Beberapa acara yang menjadi lubuk emas negara seperti terjun, gimnastik dan berbasikal dikecilkan acara manakala pencak silat, berbasikal trek, hoki dan boling padang tidak dipertandingkan.

Selain itu, tuan rumah juga memilih untuk menyenaraikan sukan-sukan yang memberi kelebihan kepada mereka seperti kurash, hoki dalam air, sambo dan obstacle race.

Dalam edisi Sukan SEA 2017, Malaysia meraih 144 emas, 91 perak dan 86 gangsa dan jika sasaran 63 hingga 79 emas menjadi buruan maka ia hampir menyamai pencapaian 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand yang menyaksikan negara membawa pulang 68 emas.