Allahyarham Tan Sri Elyas Omar, Presiden BAM (Persa­tuan Badminton Malaysia) ketika itu telah memperkenalkan program yang dinamakan TUO iaitu Piala Thomas, Uber dan Olimpik.

Negara kita berjaya memenangi Piala Thomas pada 1992 (kejuaraan terakhir kita sehingga hari ini) manakala dalam Sukan Olimpik, Malaysia meraih gangsa menerusi beregu adik-beradik Razif dan Jalani Sidek. Itulah pingat Olimpik pertama negara.

Trend, badminton sebagai penyumbang tunggal pingat Sukan Olimpik sejak 1992 bagaimanapun sudah berubah kerana atlet terjun dan berbasikal trek juga berjaya menyum­bang pingat biarpun bukan emas.

Untuk memenangi emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, melihat perkembangan terkini agar sukar kerana belum ada atlet yang benar-benar menonjol dengan prestasi luar biasa.

Atlet badminton, terjun dan basikal masih menjadi taruhan pada 2020. Jumlah mereka yang boleh dikategorikan mampu bersaing untuk memenangi pingat bagaimanapun dalam lingkungan 10 orang sahaja.

Pada pandangan saya, program untuk menghadapi Sukan Olimpik 2020 mestilah dilancarkan segera. Program ini hanya meliputi atlet yang mampu memenangi pingat.

Atlet yang mencari tempat untuk bertanding di Tokyo atau yang sudah layak tetapi peluangnya untuk memenangi pingat hampir tiada, terutama emas sewajarnya tidak dima­sukkan dalam program ini.

Sediakan program untuk tahun ini dulu dengan kerjasama persatuan masing-masing dan diikuti dengan program tahun hadapan pada penghujung tahun ini setelah meneliti prestasi atlet berkenaan.

Negara-negara jiran kita telah memenangi pingat emas. Hanya negara kita yang masih belum. Tinggalkan Progam Podium dan memulakan Program Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sekarang sudah dua bulan kita melangkah ke tahun 2019. Selesaikan masalah sambil melaksanakan program untuk Sukan Olimpik dan Sukan SEA pada tahun ini.

Untuk mengulangi pencapaian Sukan Olimpik Rio 2016 juga sangat mencabar tetapi apa yang lebih penting adalah mengelakkan pulang tanpa pingat dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.

Inilah senario yang amat menakutkan iaitu pulang dari Tokyo dengan tangan kosong.

Lepaskan MSN melaksanakannya dengan dibantu oleh ISN dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing yang dinaungi oleh Majlis Olimpik Malaysia.

Penulis adalah bekas 
Ketua Pengarah MSN