Persatuan sukan kebangsaan ada peranannya dalam mengawal atlet masing-masing. Cubaan hendak mengetepikan peranan mereka akan mengucar-kacirkan pentadbiran sukan di negara ini.

Adakah buruk sangat layanan yang diberikan kepada atlet kita. Ada kawan beri gambaran tentang layanan kita terhadap atlet negara bermula dari garis mula hinggalah ke garisan penamat.

Maknanya atlet kita ditanggung hampir dalam semua aspek dari peringkat latihan, pertandingan dan bila meraih pingat habuan wang tunai disediakan untuk mereka. Pemenang pingat Olimpik dapat pencen bulanan.

Adalah amat menarik kalau MSN dapat memberi bantuan kepada setiap atlet dalam bentuk elaun latihan bulanan, makan minum, penginapan, pengangkutan, perubatan, tiket kapal terbang, latihan di luar negara yang kadangkala mengambil masa berbulan serta pertandingan yang disertai setiap tahun.

Besar manakah jumlah dibelanjakan bagi seorang atlet yang menyertai program setiap tahun.

Data ini mungkin penting dalam menunjukkan perbelanjaan yang dikeluarkan kepada setiap atlet supaya mereka sedar. Kadangkala mereka tidak peka mengenai perkara ini sehingga kepertanggungjawaban mereka boleh dipersoalkan.

Ada eloknya kalau MSN memanggil setiap atlet yang menyertai setiap program di penghujung musim dan membentangkan kos serta hasil bagi setiap atlet.

De­ngan ini tindakan yang akan diambil MSN terhadap atlet ini pada musim berikutnya lebih mudah diterima atlet berkenaan.

Tidak salah kalau Menteri melayan atau mendengar keluhan atlet yang dipilih mengikuti sesuatu program. Sekurang--kurangnya, mungkin ada kelemahan di pihak pengurusan atlet MSN atau ISN dapat dibetulkan.

Kelemahan-kelemahan se­perti mengambil terlalu ramai kakitangan secara kontrak yang terpaksa ditamatkan perkhidmatan mereka mulai tahun ini adalah satu contoh yang perlu diberi perhatian supaya tidak berlaku lagi.

Memberhentikan kakitangan yang telah bekerja dalam waktu yang lama dan telah mempunyai tanggungan amatlah menyedihkan.

Kakitangan di MSN dan ISN perlulah keluar dari kepercayaan bahawa mereka hanya dipertanggungjawabkan melakukan satu jenis tugas sahaja.

Mereka perlu menerima hakikat ada tugas yang sifatnya berkala dan kesibukannya juga berkala. Masa terluang perlulah digunakan untuk tugas lain. Dengan demikian jumlah kakitangan dapat dikurangkan. Jangan cuba membina empayar.

Penulis adalah bekas 
Ketua Pengarah MSN.