Timbalan ketua kontinjen, Zulkarnain Umar yakin Malaysia mempunyai peluang mengulangi pencapaian dua emas dan kali ini menerusi Muhammad Haziq Rizal dalam acara ekuestian (dressage B1) dan Muhammad Naquib Ilmi Jamaluddin dalam acara 100m lelaki.

Dalam penampilan sulung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2015, kontinjen negara membawa pulang dua pingat emas menerusi pasukan bola sepak lelaki lima sebelah dan boling pada temasya yang khusus untuk atlet yang mempunyai masalah intelektual.

“Kami juga mengharapkan pingat daripada skuad bola sepak wanita tujuh sebelah selepas pasukan lelaki gagal layak pada kali ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada edisi di Abu Dhabi, Malaysia menghantar kontinjen yang terdiri daripada 29 atlet dan 15 pegawai dan menyertai acara golf, olahraga, akuatik, bocce, boling, ekusterian dan bola sepak wanita tujuh sebelah. - BERNAMA