Dia juga pernah bergelar juara heavyweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan memegang rekod bersih dalam tujuh perlawanan profesional.

Atlet dengan dua kerakyatan, New Zealand dan Samoa ini memeluk Islam pada 2009 ketika beraksi bersama Toulon di Perancis.

Baru-baru ini, Williams, 34, mendapat lampu hijau daripada kelabnya, Blues untuk dike­cualikan daripada perlawanan menentang Otago ­Highlanders dalam Super Rugby New Zealand bagi meluangkan masa me­lawat serta membantu mangsa tembakan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.

Jarang sekali atlet profesional sanggup mengorbankan masa berharga mereka tetapi Williams secara sukarela hadir di bandar itu dengan rasa penuh rendah diri dan keinsafan.

“Islam adalah agama yang aman dan dipenuhi kasih sayang. All Blacks bersama Muslim hari ini.

“Anda perlu tampil bersama mangsa, dan saya percaya biarpun kita ditimpa musibah hari ini sesuatu yang indah akan menanti.

“Saya bangga menjadi seorang Muslim dan warga New Zealand,” katanya yang ditemani rakan sepasukan All Blacks, Ofa Tu’ungafasi dan pemain Richmond Tigers, Bachar Houli ketika menziarahi mangsa yang terselamat di Hospital Christchurch.

Williams dan adik perem­puannya, Niall, pemain ragbi tujuh sebelah New Zealand turut menyertai Projek Muslim Seluruh Dunia (MATW) untuk mengutip derma bagi membantu keluarga mangsa.

Williams turut menzia­rahi dua rakyat Malaysia yang terselamat iaitu Rahimi Ahmad, 39 dan Mohd. Nazril Hisham Omar, 46.

“Sonny adalah ikon Muslim dan simbol kekuatan.

“Kehadirannya memberikan (masyarakat Muslim yang terkesan dengan tragedi itu) keberanian dan kekuatan.

“Mangsa-mangsa tembakan dan keluarga sangat memerlukan kehadiran ­beliau, saya sendiri juga memerlukan beliau sebagai pemang­kin semangat,” kata seorang doktor warga Malaysia, Dr. Mohamad Firdaus Mohamad Hanib.

Menyifatkan serangan di Christchurch sebagai sesuatu yang menyedihkan dan kurangnya pengetahuan terhadap Islam, Sonny turut diberi penghormatan memberi ucapan dalam majlis memperingati mangsa di Eden Park, baru-baru ini.