Dalam aksi yang berlangsung di Oxenford Studios itu, gandingan beregu wanita negara, Rachel Arnord-S. Sivasangari yang mengejutkan juara dunia Joelle King-Amanda Landers-Murphy di pusingan peringkat kumpulan sebelum ini, gagal meneruskan kecemerlangan itu.

Mereka tewas kepada gandingan lebih berpengalaman dari England, Laura Massaro-Sarah Jane Perry 8-11, 10-11 dalam satu perlawanan sengit dan menarik.

Kedua-dua beregu saling memungut mata sebelum beregu England itu menang dalam masa 25 minit,

Sementara itu, beregu lelaki negara, Mohammad Syafiq Kamal-Ng Eain Yow juga terkandas di suku akhir walaupun memberikan tentangan sengit kepada lawan mereka dari Scotland, Alan Clyne-Greg Lobban.

Selepas berjuang selama 52 minit dalam permainan tiga set, gandingan negara tunduk 11-9, 6-11, 5-11 sekali gus gagal ke separuh akhir.

Dengan tamatnya cabaran di suku akhir itu, buat pertama kali sejak 2010, skuasy gagal meraih emas daripada temasya ini sebaliknya hanya membawa pulang sebutir gangsa menerusi Mohd. Nafiizwan Adnan dalam acara perseorangan lelaki.

Sebelum ini pada temasya 2010, Datuk Nicol David berjaya menyumbang satu emas dalam perseorangan wanita dan satu gangsa berpasangan dengan Ong Beng Hee dalam acara beregu campuran.

Pada temasya 2014 pula, Nicol mempertahankan pingat emas menerusi acara perseorangan wanita.