Pasangan berpengalaman negara itu menunjukkan prestasi meyakinkan ketika mengetepikan gandingan dari Kanada, Leanne Chinery-Kelly McKerihen 18-5 di separuh akhir.

Terdahulu, mereka juga tidak menghadapi banyak masalah untuk menumpaskan pasangan India, Lovely Choubey-Rupa Rani Tirkey 17-11 dalam saingan suku akhir.

Pasangan Afrika Selatan, Colleen Piketh-Nicolene Neal kini menjadi halangan terakhir Siti Zalina-Emma Firyana apabila perebutan emas berlangsung esok.

Piketh-Neal mara selepas menumpaskan beregu England, Sophie Tolchard-Natalie Chestney 14-12.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Muhammad Soufi Rusli dalam saingan perseorangan lelaki apabila kalah 13-21 kepada Darren Burnett dari Scotland.

Scotland turut menjadi penghalang Malaysia dalam saingan berempat lelaki apabila menumpaskan pasukan negara 13-12 di suku akhir.

Boling padang membawa pulang dua perak dalam Sukan Komanwel 2014 di Glasgow. - UTUSAN ONLINE