Atlet berusia 23 tahun itu melakukan jumlah angkatan seberat 214kg untuk menduduki tempat keempat keseluruhan.

Pingat emas dimenangi atlet Fiji, Eileen Cikamatana dengan angkatan 233kg, diikuti peserta tuan rumah Kaity Fassina yang mengangkat 232kg untuk pingat perak.

Gangsa dimenangi atlet Cameroon, Clementine Meukeugui Noumbissi dengan jumlah angkatan 226kg.

"Saya dah pecah rekod kebangsaan 90kg dan 115kg. Cuma saya tidak puas hati dalam acara snatch tadi, saya rasa boleh buat lebih baik.

"Saya cuba dalam clean(amp)jerk dan pencapaian 123kg itu adalah terbaik untuk saya. Tadi masa percubaan seterusnya, saya dah mula rasa takut (hendak buat angkatan)," katanya.

Dalam saingan akhir di Carrara Sports and Leisure Centre, Siti Aisyah melakukan angkatan 91kg dalam acara snatch diikuti 123kg dalam acara clean(amp)jerk.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, atlet kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata beliau akan meneruskan latihan untuk kejohanan seterusnya di Thailand dan jika diberi peluang mahu mencuba nasib di pentas Sukan Asia 2018.

"Saya pasti akan kembali lagi ke Sukan Komanwel empat tahun lagi dengan sasaran yang lebih baik. Lagipun saya masih muda.

"Saya tahu peluang agak sukar di Sukan Asia tapi tidak salah mencuba kalau diberi peluang. Mana tahu nasib saya," katanya.

Acara angkat berat melabuhkan tirai hari ini dan telah menyumbang tiga pingat iaitu dua emas dan satu gangsa buat kontinjen negara. -BERNAMA