Silver Gaurus begitu jauh di hadapan menerusi dua try scrumhalfnya, Mohamad Nor Adol, fulbek Harith Iqbal Anhar dan prop, Muhamad Sayidi Sahrul serta flanker, Alif Anuar sedangkan JLJ hanya cuba bangkit dalam babak kedua.

Pasukan dari Perak itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah sejak MRL yang dijenamakan semula daripada Kejohanan Antara Kelab Kebangsaan di­singkap tirainya pada 4 Februari lalu.

Silver Gaurus mengorak langkah kanan dengan membenam ATM Blackhawks 52-8 dan KL Tigers 35-5 untuk menjuarai Kumpulan D sebelum mem­belasah Edwardian Tigers 42-3 (suku akhir) dan Beringin Rendang 28-12 (separuh akhir).

Kejayaan ini membolehkan skuad bimbingan Mohamad Nazeer Mohamed Nesharah ini mengaut RM3,000, sementara lawan selaku naib juara yang turut mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beroleh RM1,500.

Terdahulu perlawanan akhir Divisyen Dua MRL pula dimenangi ATM Navy Orca selepas menundukkan Terengganu RT 12-8, sekali gus merangkul trofi dan wang tunai RM2,000 manakala naib juara mendapat RM1,000.

Try Navy Orca dilakukan oleh Khairilmizan Ishak dan Saiful Iswan Rosli sementara Terengganu membalas menerusi Fadhil Sauti.

Penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengerusi Kor JLJ, Mejar Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar dan Presiden Ragbi Malaysia (MR), Datuk Shahrul Zaman Yahya.