Pesilat negara, Faizul M. Nasir menyifatkan skuad kebangsaan memiliki kualiti untuk meraih tiga emas berbanding dua seperti yang disasarkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Faizul yang akan menyertai kategori Putra Kelas B (50-55kg) percaya, meskipun tanpa kelibat juara dunia seperti Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir susulan kategori mereka tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.

Dia yakin, pasukan pesilat lain tetap akan membawa aura Al Juefferi dan Siti Rahmah di Filipina nanti.

“Saya mahu mengekalkan rekod bersih Sukan SEA sebab sebelum ini saya pernah menang dua emas pada edisi 2015 serta 2017.

“Biarpun tanpa kehadiran mereka (Al Jufferi dan Siti Rahmah), saya dan pasukan mahu buktikan bahawa tidak mustahil kami mampu mencapai sasaran.

“Ketika memenangi pingat emas sebelum ini, mereka bersama pasukan tetapi itu tidak bermakna tanpa mereka kali ini, saya dan rakan-rakan lain tidak boleh buat. Kami akan buktikan keupayaan.

“Ketika beraksi dalam Sukan SEA ­Singapura empat tahun lalu saya atlet baru tapi saya boleh menang. Apa yang penting, kami dapat kawal emosi ketika pertandingan,” katanya dalam sidang akhbar Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.