Buruan tersebut dizahirkan pesilat negara Faizul M. Nasir yang menyifatkan skuad kebangsaan memiliki kualiti tersendiri untuk meraih tiga emas berbanding dua, seperti yang disasarkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Tambah Faizul, yang akan menyertai kategori Putra Kelas B (50-55kg), meskipun tanpa kelibat juara dunia seperti Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah M. Nasir susulan kategori mereka tidak dipertandingkan pada temasya kali ini, dia dan rakan-rakannya tetap akan membawa aura dua pesilat terbabit dalam usaha memburu podium pertama.

"Saya mahu mengekalkan rekod bersih di kejohanan Sukan SEA sebab sebelum ini saya pernah menang dua emas dalam edisi 2015 serta 2017. Biarpun tanpa kehadiran mereka (Al Jufferi dan Siti Rahmah), saya dan pasukan mahu buktikan bahawa tidak mustahil kami mampu mencapai sasaran.

"Sepanjang dua kemenangan emas saya terdahulu, mereka bersama saya. Tetapi tidak bermakna tanpa mereka kali ini, saya dan rakan-rakan lain yang baru tidak boleh buat. Kami akan buktikan keupayaan kami.

"Masa di Sukan SEA Singapura pun saya atlet baru tapi saya boleh menang. Apa yang penting, kami dapat kawal emosi ketika pertandingan," katanya dalam sidang akhbar Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Mengulas lanjut, atlet kelahiran Petaling Jaya itu enggan memikirkan tentang 'kecurangan wasit' sebaliknya mahu memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Wasit itu perkara kedua, saya tidak mahu ada perasaan negatif ketika beraksi jika terlalu fikirkan mereka. Jadi perkara utama ialah persembahan yang bakal saya tunjukkan. Saya mahu pastikan saya mendapat kemenangan mutlak, jadi tidak akan ada benda yang boleh diubah," ujarnya.- UTUSAN ONLINE