SHAHRUL ZAMAN YAHYA

Presiden KRM itu turut mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan pencabarnya, Tan Sri Abd. Halim Karim pada pemilihan 13 Julai ini, malah, menganggap Presiden Ragbi Kedah itu seperti abangnya.

“Tan Sri Halim macam abang saya dan saya harap pemilihan KRM akan berjalan secara positif dan seperti adik-beradik,” katanya yang menyandang kerusi nombor satu itu selepas menewaskan penyandang, Datuk Wira Amiruddin Embi dengan 19 undi berbalas 17 undi pada 4 Jun 2016.

Halim pula tewas kepada Velayuthan Tan juga menerusi undian 19-17 dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden KRM bagi pemilihan penggal 2016/19 di ibu negara.

Jawatan Timbalan Presiden KRM pula bakal menyaksikan muka baharu sebagai penyandangnya dalam persaingan satu lawan satu antara Datuk Tamunif Mokhtar dan Amir Amri Mohamad.

Velayuthan dari Sabah yang juga Ahli Majlis Ragbi Asia, tidak dicalonkan semula selepas tarikh pencalonan oleh ahli-ahli gabungan KRM ditutup pada 9 Mei lalu.

Raimi Mohd. Yusof pula akan mempertahankan satu daripada dua kerusi Naib Presiden KRM yang dipertandingkan secara tiga penjuru dengan Pengarah Pertandingan KRM, Mohamad Fahmy Abd. Jalil dan Mohd. Zaki Shahran.

“Apabila sudah melalui proses pencalonan oleh rakan-rakan ahli gabungan KRM, biarlah diteruskan dan macam tidak menghormati mereka pula kalau menarik diri. Sebab akhirnya yang paling penting ialah KRM, bukan kami. Tiada siapa yang boleh mendakwa dialah yang lebih besar daripada badan induk ini atau sukan ragbi negara.

“Pemimpin akan datang dan pergi. Saya sudahpun melakukan yang terbaik sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Presiden,” kata Shahrul.

Namun, beliau melahirkan rasa sedih dengan sikap sesetengah pihak dalam KRM dan ahli gabungannya yang ‘menyerang’ pucuk pimpinan sekarang secara negatif.

“Kamipun manusia biasa, memanglah tidak akan sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, tetapi, takkanlah tiada langsung kemajuan yang kami capai dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE