Perebutan kerusi No. 1 badan induk tersebut bakal menemukan Megat D Shahriman dengan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan hasrat untuk bertanding, tetapi dipalit dengan kontroversi berikutan lewat menghantar borang pencalonan.

Status Khairy, sebelum ini, menimbulkan tanda tanya selepas tertera dalam borang pencalonan bahawa ia perlu dihantar sebelum 15 Jun dan ini bermakna setiap pencalonan mesti diserahkan ke pejabat MPM pada atau sebelum pukul 11.59 malam 14 Jun.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Megat D. Shahriman berkata, beliau menyambut baik cabaran yang diberi oleh Khairy.

“Untuk makluman, saya menerima baik pertandingan yang sihat daripada Khairy yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan kerana ini adalah negara demokrasi dan hak kepada mana-mana individu.

“Alhamdulillah, Insya’Allah saya rasa pertandingan ini akan membawa banyak manfaat kepada semua pihak dan kita harus berfikiran positif. Balik Malaysia nanti saya akan beri kenyataan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia yang ketika ini berada di London atas urusan perniagaan.

Bagaimanapun, Khairy dibenarkan bertanding selepas Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin mengesahkan bahawa Khairy dan empat lagi calon yang menghantar borang pada 15 Jun lalu dibenarkan bertanding setelah keputusan dibuat secara sebulat suara oleh Lembaga Eksekutif.

Di atas kertas, Khairy boleh dikatakan sebagai calon pilihan untuk memimpin badan induk tersebut berdasarkan pengalamannya ketika bertugas sebagai Menteri Belia dan Sukan apabila tiga atlet para meraih tiga pingat emas dalam Paralimpik 2016 di Brazil.

Bagaimanapun, itu bukan menjadi ukuran utama kerana sesiapapun bakal menggalas jawatan Presiden MPM akan berdepan tugas besar kerana Sukan Paralimpik bakal berlangsung di Tokyo, tahun depan dan kontinjen negara membawa misi mengulangi pencapaian tiga tahun lalu.

Ketiga-tiga emas yang disumbangkan Mohd. Ridzuan Puzi menerusi acara 100 meter T36 lelaki (cerebral palsy), Ziyad Zolkefli dalam lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly bagi acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) telah mengubah landskap sukan paralimpik di negara ini. - UTUSAN ONLINE