Muhamad Firdaus Tarmizi dan Avein Azreen Perman mencatat try terbanyak (dua) masing-ma­sing pada minit kelapan, 16, 44 dan 50 selain tiga lagi try sumbangan Faat Hor Razi (5), Muhammad Akmal Md. Nor (58) dan Muhd. Nur Ikqwan Nordin (60).

Baki mata UPM Serdang Angels dalam perlawanan akhir di Stadium UPM di sini, turut dilengkapkan oleh sepakan conversion Mohammad Nazreen Fitri Nasrudin dan penalti Mohamad Syarif Saiful Aazwan Sudin pada minit ke-17 dan 40.

Tuan rumah yang mendahului babak pertama, 20-0, turut beroleh bonus apabila Mohamad Syarif Saiful Aazwan yang bermain di posisi flanker, diumumkan sebagai Pemain Terbaik keseluruhan.

Mereka merangkul trofi selain hadiah wang tunai RM5,000, manakala Hornets MSP yang turut ditewaskan mereka 34-17 dalam perlawanan peringkat Kumpulan A, minggu lalu, sekadar berpuas hati dengan RM3,000.

“Kami belajar daripada perlawanan kumpulan itu dengan tidak lagi membiarkan barisan depan bergerak secara kurang tersusun dalam perlawanan akhir ini.

“Jadi Hornets MSP tidak mampu mengintai ruang dan peluang untuk meraih mata seperti mereka lakukan tempoh hari di mana kami menang sengit, 34-17 dan kali ini, corak permainan padat sepasukan kami, jelas berkesan.

“Selaku tuan rumah, keadaan padang yang basah kerana hujan lebat pada babak kedua sehingga menangguhkan seketika perlawanan akhir ini, turut menjadi faktor kejayaan kami,” kata jurulatih Serdang Angels UPM, Khairizal Ali Amat kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Lions Universiti Teknologi Mara pula memenangi tempat ketiga dengan menewaskan Blues Universiti Malaya 48-13 dalam perlawanan terdahulu.

Masing-masing disekat pada separuh akhir, oleh tuan rumah 19-5 dan Hornets MSP 26-22, Jumaat lalu.

Sebagai rekod, Serdang Angels UPM menjuarai kejohanan tahun lalu dengan mengalahkan Universiti Islam Antarabangsa.