Beraksi di laman sendiri, Serdang Angels bermula garang dengan mendahului seawal minit ketujuh menerusi try Muhammad Faizal Md Tahir sebelum menyudahkan coversion.

UiTM Lions kembali memperkemaskan corak permainan dan hasilnya mereka merapatkan jurang mata menerusi try Ahmad Zulhilmi Azizad pada minit ke-35.

Memasuki babak kedua, UPM melakukan beberapa pertukaran dan hasilnya mereka tampil dengan permainan lebih kemas.

Mohamad Syarif Saiful Aazwan Sudin memastikan Serdang Angels selesa di depan menerusi try pada minit ke-49, sebelum Muhamad Hafzan Bakri Md. Roni meletakkan pasukannya mendahului 28-5, enam minit selepas itu.

Pemain gantian, Muhammad Aziem Badaruddin melengkapkan kejayaan UPM Serdang Angels selepas menyudahkan try pada minit ke-70 sebelum Muhammad Faizal Md. Tahir menyempurnakan conversion.

UiTM Lions berjaya menambah tiga mata menerusi penalti, namun ia belum cukup untuk menghalang UPM Serdang Angels muncul juara menerusi keputusan 35-8.

Jurulatih Serdang Angels, Khairizal Ali Amat berkata, disiplin tinggi yang ditunjukkan pemainnya adalah kunci kejayaan mereka. - UTUSAN ONLINE