Ketika permainan dihentikan, Thiem sedang mendahului 3-1 di set ketiga selepas menang 6-2 di set pertama tetapi tewas 3-6 di set kedua. Permainan dijadual bersambung pada pukul 6 petang ini waktu Malaysia.

Ini bukan kali pertama jadual perlawanan terpaksa diubah akibat cuaca yang tidak menentu di mana kadang-kadang hujan dan ada kalanya angin bertiup kencang di dalam gelanggang.

Djokovic dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan berangin di awal permainan dan beberapa kali melahirkan rasa tidak puas hati kepada pengadil dengan harapan permainan dihentikan.

“Kami telah berunding dengan pemain sebelum menangguhkan permainan. Kami tidak buat keputusan sesuka hati sahaja,” kata pengarah pertandingan, Guy Forget ketika menafikan berita Djokovic meninggalkan gelanggang lebih awal sebelum keputusan dibuat.

Pemenang perlawanan ini akan bertemu Rafael Nadal yang sudah pun mengesahkan tempat di final selepas menundukkan Roger Federer 6-3, 6-4, 6-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung lebih awal. - AFP