KUALA LUMPUR: Skuad double Indonesia dipaksa bekerja keras sebelum menang 2-1 ke atas Filipina, sekali gus layak ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Dalam perlawanan berkenaan itu, Filipina berjaya mengheret Indonesia sehingga ke set penentuan sebelum terpaksa akur tumpas 15-7, 7-15, 16-17 kepada juara Sukan SEA Kemboja 2023 itu.
Gandingan Indonesia, Hardiansyah Muliang dan Rusdi perlu mengeluarkan segala pengalaman yang dimiliki untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka selepas tumpas kepada Myanmar dalam aksi pertama Kumpulan C, semalam.
Menurut Rusdi, mereka sangat beruntung dapat mengelak daripada dimalukan Filipina selain mengesahkan peluang untuk ke pusingan kalah mati.
“Alhamdulillah kami beruntung untuk menang kerana mata sangat rapat dan Filipina juga pamerkan aksi cukup baik. Suku akhir nanti kami akan berusaha lebih baik.
“Suku akhir nanti kami masih belum tahu lawan siapa tetapi, pasukan mana pun yang akan dihadapi, kami akan buat persiapan dan akan memastikan kemenangan berpihak kepada kami,” katanya.
Ditanya tentang sasaran, Rusdi berkata, Indonesia datang dengan satu matlamat besar untuk menjuarai acara double.-UTUSAN










