KL Thunder pertahan kejuaraan Piala Juara-Juara STL - Utusan Malaysia

KL Thunder pertahan kejuaraan Piala Juara-Juara STL

PEMAIN KL Thunder meraikan kejayaan muncul juara Piala Juara-Juara STL 2022 selepas menumpaskan Johor Tigris 21-19, 21-1 di Iskandar Malaysia Studio, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Tekanan hebat yang diberikan penyokong tuan rumah tidak langsung menjejaskan Kuala Lumpur (KL) Thunder untuk mempertahankan kejuaraan Piala Juara-Juara STL, malam ini.

Skuad ibu kota itu ternyata lebih unggul di semua posisi apabila menumpaskan Johor Tigris 21-19, 21-17 dalam final penuh dramatik di Iskandar Malaysia Studio.

Kemenangan itu membolehkan KL Thunder membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Skuad kendalian Rashidi Nordin mempamerkan aksi konsisten biarpun diberikan tentangan hebat Johor Tigris yang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

Johor Tigris kendalian Ahmad Jais Baharun itu mendahului permainan setelah Noraizat Nordin menggunakan ketinggian membuat hadangan rejaman Azlan Alias namun juara bertahan itu berjaya menyamakan kutipan mata 3-3 hasil servis Syahir Rosdi.

Noraizat terus mendatangkan masalah buat KL Thunder apabila rejamannya terus menuai mata buat pasukan tuan rumah bagi meletakkan pasukan di hadapan dengan kedudukan 10-7.

Kem KL Thunder cemas setelah pasukan lawan terus mendahului 16-12 memaksa ketua jurulatih mengeluarkan ayam tambatan mereka, Syahir dengan memasukkan Aizat Nor Azmi.

Pasukan tuan rumah yang selesa di hadapan pada kedudukan 18-14 mula melakukan kesilapan apabila membuka ruang buat pasukan lawan untuk merapatkan kedudukan 19-19.

Aizat yang menjadi senjata rahsia KL Thunder menghadiahkan kemenangan buat juara bertahan itu apabila servisnya menamatkan permainan set pertama dengan kiraan 21-19.

Bersambung set kedua, kedua-dua pasukan itu mempamerkan aksi bertenaga apabila sukar dipisahkan dari segi pungutan mata di kedudukan 3-3 dan berlanjutan di kedudukan 10-10.

KL Thunder yang berjaya menyerap tekanan sorakan padu penyokong tuan rumah mendahului hasil rejaman Azlan Alias meletakkan pasukan lawan di situasi genting hingga melakukan pertukaran mengeluarkan tekong Thailand menggantikan Zuhri Zain.

Johor Tigris enggan menyerah kalah dan memberi saingan sengit hingga berjaya menghambat KL Thunder di kedudukan 17-16 hasil rejaman Noraizat.

KL Thunder terus menambah mata hasil servis yang dilakukan Aizat untuk meletakkan pasukan berada di ambang kemenangan sebelum digantikan Syahir.

Kemasukan Syahir sudah dijangka mampu menuaikan mata buat pasukan KL Thunder untuk menang 21-17.

Kesemua pemain KL Thunder memenangi anugerah terbaik di posisi masing-masing manakala apit kiri, Zazwan Amir dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya