Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu juga telah dibincangkan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

“PSM mungkin ada proses mereka yang tertentu dalam perkara ini, kedua-dua atlet terbabit juga akan dipanggil untuk menjawab pertuduhan dalam jawatankuasa tatatertib badan induk itu.

“Jadi, kita tunggu dahulu keputusan itu. saya pun nak pastikan bahawa atlet terbaik ini tetap dapat mengharumkn nama Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peluang Syahir dan Zulkifli untuk kembali menyertai skuad sepak takraw negara selepas PSM dilihat tidak memberi laluan mudah kepada atlet berkenaan.

Sebelum ini, meskipun kementerian memberi reaksi positif kedua-dua tekong itu bakal kembali, PSM tetap bertegas bahawa mereka masih perlu melalui proses yang termaktub dalam perlembagaan badan induk itu.

Untuk rekod, Syahir dan Zulkifli sebelum ini digugurkan sebagai atlet negara dan dikeluarkan dari skuad sepak takraw kebangsaan serta digantung sementara daripada melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sukan itu.

Tindakan drastik PSM itu dilihat memberikan impak besar kepada persiapan skuad negara terutamanya menjelang temasya Sukan SEA Filipina yang semakin hampir dan kejohanan terkemuka lain.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berharap isu berkenaan dapat diselesaikan sebaik mungkin bagi mengelak prestasi sepak takraw negara merudum.

“Sebab itu kita mahu situasi menang menang dalam hal ini. Saya juga dimaklumkan kedua-dua atlet itu masih berminat untuk wakili negara, sebab itu proses rundingan masih dijalankan,” katanya.-UTUSAN ONLINE