Semangat tinggi Muhammad Hakimi itu wajar dipuji kerana jika dia berjaya melakukannya maka itu akan menjadi pingat emas pertama olahraga negara selepas 1998 dalam temasya tersebut dengan kali terakhir menerusi S. Govindasamy dalam acara 50 kilometer jalan kaki lelaki di Kuala Lumpur.

Muhammad Hakimi menempah slot ke saingan akhir di Gold Coast hari ini apabila berjaya melepasi aksi kelayakan dengan catatan 16.36m dan bakal bertemu beberapa jaguh hebat Sukan Komanwel seperti Nathan Douglas dari England yang mempunyai catatan peribadi terbaik 17.64m dan Yordanys Duranona Garcia dari Dominica dengan catatan terbaiknya 17.20m.

“Kalau boleh saya nak menang pingat emas dan pecah rekod kebangsaan namun buat masa ini biar saya fokus kepada usaha yang boleh saya berikan dahulu kemudian rekod atau pingat akan datang dengan sendiri. Saya percaya semua atlet inginkan kemenangan dan sebagai atlet saya perlu berikan yang sebaiknya semasa bertanding nanti.

“Catatan semasa sesi kelayakan tidak boleh dijadikan perbandingan kerana semasa aksi final kita akan lihat kemampuan sebenar semua atlet bertanding,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.