Muhammad Aqil berkata, insiden dia dan Russel Alexander Nasir Taib tidak dibenarkan bersaing dalam acara 200m berikutan masalah teknikal, tidak mematahkan semangatnya bagi membantu kuartet negara yang turut dibarisi Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa meraih keputusan positif dalam acara berganti-ganti itu.

“Agak terkilan kerana tidak dapat menyertai acara 200 meter tetapi saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk saya gagal memberi tumpuan sepenuhnya dalam acara 4x100 meter,” katanya.

Semalam, Muhammad Aqil dan Russel, pemegang rekod 200m negara, tidak dibenarkan bertanding dalam acara berkenaan pada temasya sukan itu.

Sebelum ini, Russel melalui media sosial Facebook memohon maaf kepada keluarga, rakan-rakan dan peminatnya selepas tidak dibenarkan masuk ke bilik panggilan kerana namanya tiada dalam senarai di lorong permulaan.

Menurut laporan akhbar, mereka tidak dibenarkan bertanding kerana gagal mengesahkan penyertaan mereka 24 jam sebelum acara berlangsung.

Sementara itu, pengurus skuad olahraga negara pada Universiade, Nazmizan Mohamad optimis kuartet 4x100m lelaki negara mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan lain pada temasya itu.

Bekas pelari pecut kebangsaan itu yakin Muhammad Aqil dan Russel mampu mempamerkan larian terbaik walaupun sebelum ini tumpuan mereka sedikit terjejas selepas insiden dibatalkan penyertaan dalam acara 200m.

“Alhamdulillah...mereka kini cukup bersedia untuk aksi seterusnya,” kata Nazmizan. - BERNAMA