Naib Presiden Short Track Speed Skating, Cheng Chee Siang berkata, ini berdasarkan pencapaian dan ranking kedua-dua atlet itu semasa menyertai Kejohanan Dunia Short Track 2019 di Montreal, Kanada pada 25 hingga 27 Jan lepas.

Beliau, bagaimanapun berkata Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU) masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai slot kedua-dua atlet berkenaan pada YOG Musim Sejuk.

"ISU masih belum keluarkan senarai nama ke YOG Musim Sejuk, namun, selepas meneliti kriteria dan ranking untuk YOG, kedua-dua atlet negara itu dijangka layak beraksi pada temasya tersebut. Kini, kita hanya menunggu pengumuman rasmi daripada ISU," katanya.

Untuk rekod, Sean dan Dione, masing-masing berusia 16 tahun, bakal muncul atlet luncur ais remaja pertama negara dalam kategori short track, beraksi pada Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk.

Sean yang kini menetap di Korea Selatan, menyifatkan kejayaannya bakal meraih tempat ke temasya sukan di Switzerland itu, hasil penat lelah dan pengorbanannya selama ini.

"Saya memang tidak jangka untuk layak ke Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk, tetapi, segala usaha saya dan keluarga selama ini berbaloi. Ibu bapa saya sanggup tinggalkan perniagaan di Malaysia untuk membolehkan saya berlatih di Korea Selatan.

"Ya, saya memang berusaha keras. Buat latihan enam hingga lapan jam sehari untuk pastikan impian saya tercapai. Namun, impian dan keazaman sebenar saya adalah mahu beraksi pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Sean yang ditemani ibunya, Katherine Koh, kelihatan sangat yakin dan percaya dengan kebolehan dirinya untuk mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia.

Sementara itu, Dione turut berkongsi perasaan sama dengan Sean, kerana tidak pernah menyangka untuk layak ke YOG.

"Pada awalnya saya hanya sasarkan Sukan SEA Filipina 2019, namun, saya dijangka dapat beraksi pada YOG. Kini saya mahu terus fokus dengan latihan dan berikan persembahan terbaik.

"Sebelum ini, saya menjalani latihan di Budapest (Hungary) selama sebulan dan selepas ini, saya rancang teruskan latihan sama ada di Australia, Korea Selatan atau Belanda," katanya. - BERNAMA