Selain itu, beliau berkata pelbagai langkah turut diambil untuk menyusun semula Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Kuching (KFC) bagi membentuk pasukan yang mantap untuk bersaing dalam kejohanan peringkat kebangsaan.

“Kita menjangkakan program dan aktiviti sukan akan semakin rancak, sambil disokong dengan pembangunan dan kewujudan kemudahan sukan berkelas dunia ini di seluruh negeri.

“Dalam usaha kita mempercepatkan status Sarawak sebagai kuasa sukan tanah air, kerajaan negeri mempunyai beberapa perancangan dengan mewujudkan lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Akuatik Pandelela Rinong bernilai RM163 juta di Petra Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan kemudahan tersebut akan menarik lebih ramai bakat baharu untuk menyertai program pembangunan dilaksanakan bagi mengenal pasti mereka yang berpotensi dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa.

Johari walau bagaimanapun tidak mendedahkan kos pembi­naan ketiga-tiga projek berke­naan, dan bila dilaksanakan, namun akan berusaha sebaik mungkin dalam mendapatkan peruntukan bagi kesemua projek tersebut.

Ketua Menteri itu juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebuda­yaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan pasukan­nya yang berjaya membawa masuk pe­nganjuran Kejohanan Renang Para Dunia Ke-9 di Kuching tahun depan, melibatkan penyertaan 600 peserta dari 86 negara pada kejohanan itu berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak juga akan me­nu­buhkan Pusat Sukan Berprestasi Tinggi seperti di New Zealand, yang terbukti sangat berkesan dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi di negara berkenaan. – BERNAMA