Rata-rata ibu bapa atlet negara mengakui, mereka tidak dapat membayangkan suasana yang bakal me­nyelubungi Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila majlis besar-besaran diadakan bagi me­nyambut kontinjen Malaysia yang pulang bersama tiga pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Para­limpik Rio.

Keluarga Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly, pemenang pingat emas 100 meter T36 (cerebral palsy) serta lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) didatangkan khas dari Perlis dengan menaiki bas semalam.

Keluarga Siti Noor Radiah Ismail, yang melakar kejutan memenangi gangsa lompat jauh T20 wanita pula memandu dari Johor untuk menatap wajah anak ke­sayangan mereka di KLIA.

Bagi keluarga pemenang pi­ngat emas lontar peluru F20, Muhammad Ziyad Zolkefli yang datang dari Gombak, mereka akan memastikan sambutan kali ini istimewa apabila membawa kain rentang yang dibuat khas oleh rakan-rakan rapat Ziyad.

“Perasaan rindu, gembira dan terharu semua ada ketika ini, tidak tahu ba­gaimana hendak gambarkan apa yang saya rasa.

“Sudah terlalu lama saya tidak jumpa Abdul Latif tetapi di ke­jauhan saya sentiasa mendoakannya,” kata Salmah Yatim, ibu kepada Abdul Latif.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Salmah, 57, berkata, dia sedang dalam perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, bapa Ridzuan, Mohamad Puzi Mat Isa, 56, berkata, ketika ini dia hanya mahu bertemu anaknya.

“Saya tiada sebarang peranca­ngan untuk dia te­tapi jika dia diberi cuti panjang, dapatlah kami mengadakan majlis doa selamat di kampung nanti.

“Apa yang pen­ting sekarang, saya nak jumpa dia dulu bagi menghilangkan rasa rindu kerana ka­mi jarang dapat berjumpa...dia terlalu sibuk berlatih,” ujarnya.

“Kita tahu perjua­ngan mereka tidak mudah dan kejayaan atlet paralimpik membawa makna yang besar,” kata Zolkefli Othman, bapa kepada Ziyad pula.

Bagi bapa Siti Noor Radiah, Ismail Shawal, 55, hanya ada satu perkataan yang hendak diungkap: “Kami sekeluarga teramat rindu dengannya. Apa yang penting, dia selamat pergi dan pulang.”

Sementara itu, pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan memberi penghormatan kepada atlet Paralimpik negara pada perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia, 2 Oktober ini.

Wira-wira negara ini dijadual membuat penampilan istimewa semasa sesi autograf peminat bersama pelumba F1 pada hari perlumbaan.