Safuan berkata, kemajuan dan daya saing yang ditunjukkan dapat dibuktikan oleh Cristal Adam Jabry dari Sarawak dan wakil Sabah, Victor Larry yang memberi cabaran sengit kepadanya dalam pertarungan tangan kiri dan kanan kategori 63 kilogram terbuka di Cyberjaya, Selangor, semalam.

Safuan, 22, yang mewakili Putrajaya, memerlukan set penentuan untuk mempertahankan gelaran tangan kiri setelah terikat 1-1 pada perlawanan akhir dengan Cristal sebelum mengesahkan kemenangan berganda apabila menumpaskan Victor.

Kejayaan anak jati Klang, Selangor itu sekali gus memberikannya motivasi terbaik menjelang Kejohanan Dunia di Rumia, Poland, Disember ini, apatah lagi dia meletakkan sasaran untuk menaiki podium buat kali pertama sejak menyertai saingan berprestij itu pada 2015.

“Saya agak leka menentang Cristal, gerakan tangan dan lengannya sangat laju, jadi sedikit kelekaanpun boleh mengundang parah. Inilah kali pertama saya menentangnya dan agak gementar, namun, Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.

“Memang satu kemajuan bagi pengusti lengan Sabah dan Sarawak pada kejohanan kali ini dan satu perangsang buat saya menjelang Terbuka China (Oktober) dan ke Rumia,” katanya merujuk prestasi lawan dalam Kejohanan Kebangsaan anjuran Persekutuan Gusti Lengan Kebangsaan (MyArms) itu.

Safuan meraih tempat kelapan (kanan) dan ke-11 (kiri) dalam Kejohanan Dunia Persekutuan Gusti Lengan Dunia (WAF) di Antalya, Turki, tahun lalu.

Turut mempertahankan serta membolot kejuaraan gusti tangan kiri dan kanan bagi kategori terbuka 78 kg ialah juara Asia 2015, Joffey Jolly dari Sabah yang mudah menumpaskan Abdul Razak Hadzir dari Putrajaya dan rakan senegeri, Michael Fort.

Gelaran keseluruhan (saingan antara juara setiap kategori) untuk saingan gusti tangan kiri pula kekal menjadi milik Jake Chia Jun Kit dari Putrajaya yang mengalahkan rakan sepasukan, Nizar Yusof, manakala bagi aksi tangan kanan dimenangi Fort. - UTUSAN ONLINE