Iskandar ALWI membuat lompatan yang memecahkan rekod lompat bergalah
ISKANDAR ALWI membuat lompatan
yang memecahkan rekod lompat bergalah kebangsaan dalam Kejohanan
Olahraga All Comers Kuala Lumpur di Bukit Jalil semalam.

Atlet berusia 24 tahun itu mencatat lompatan 5.31 meter untuk mengatasi rekod lama 5.25 meter yang dilakukannya ketika meraih pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasio­nal, Bukit Jalil pada 24 Ogos lalu.

Kejohanan yang berlangsung di Bukit Jalil hari ini menyaksikan Iskandar dua kali melepasi rekod lamanya setelah melakukan 5.29m menerusi lompatan pertamanya.

Dia jelas tiada tandingan buat pemenang perak Naufal Shahrul Afzan dari Sekolah Sukan Ne­geri Johor yang mencatat 4.40m manakala gangsa milik Nur Azim Azmi (Sukma Johor, 4.00m).

Kejayaan mencipta rekod kebangsaan itu membolehkan Iskandar meraih insentif wang tunai RM1,000 daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

“Saya tidak jangka boleh melepasi 5.31m, saya hanya cuba buat yang terbaik, ini rezeki saya kerana dalam latihan saya tidak pernah melepas ketinggian ini.

“Hari ini saya hanya cuba untuk berseronok dan memang tidak jangka sampai 5.31m. Sasaran rekod baharu kebangsaan itu memang ada tetapi sekitar 5.26m.

“Galakan jurulatih saya tadi yang membolehkan catatan itu jadi lebih baik,” katanya yang mewakili pasukan Sukan Komanwel.

Hasrat untuk menyaksikan satu lagi rekod kebangsaan dipe­cahkan tidak kesampaian dalam perlumbaan 100 meter yang di­sertai juara Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan.

Pelari kelahiran Melaka ber­usia 20 tahun itu sekadar mencatat 10.34 saat, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya 10.18s namun tetap wajar dipuji kerana berjaya mengatasi catatannya ketika memenangi pingat emas Sukan SEA iaitu 10.38s.

Mewakili Akademi Pecut Poad, Khairul menewaskan pemenang perak dan gangsa Muhammad Zulfiqar Ismail (10.46s) dan Muhammad Haiqal Hanafi (10.47s), masing-masing dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail.

“Ini kejohanan pertama saya dalam 100m sejak pulih daripada kecederaan yang dialami dalam Sukan SEA lalu.

“Saya cuma ingin mendapatkan suasana pecutan dan capai catatan sekitar 10.3s dan Alhamdulillah lebih baik daripada Sukan SEA,” katanya.