Bintang tenis Jepun itu, yang menyasarkan untuk menambah koleksi gelaran dengan memburu kemenangan pada Terbuka Perancis selepas mendakap kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat dan Australia, bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum mencatat kemenangan 4-6, 7-5, 6-3 ke atas Azarenka.

Kedua-dua pemain tersebut meninggalkan Gelanggang Suzanne Lenglen untuk ke tandas sebelum memulakan set ketiga. Osaka segera kembali ke gelanggang, tetapi bekas pemain No. 1 dunia dan pemenang dua gelaran Grand Slam, Azarenka menghilangkan diri selama hampir 11 minit.

Pada ketika Osaka, 21, memanfaatkan masa tersebut, ramai pula pemerhati tertanya-tanya sama ada kelewatan tersebut adalah perbuatan yang disengajakan. Ternyata, tindakan itu memakan diri apabila Azarenka tewas dalam set penentuan itu.

“Sewaktu saya pergi ke bilik air untuk menukar pakaian, saya memang berasa bimbang kerana khuatir saya melanggar kod etika perlawanan. Jadi, saya memang tergesa-gesa melakukan urusan saya. Selepas saya kembali dan melihat dia belum pulang ke gelanggang, saya kembali tenang.

“Saya dengan pantas menukar pakaian, sehingga tangan saya menggigil pada waktu itu. Jadi, apabila saya kembali dan Azarenka masih belum pulang, saya mula berasa tenang dan berfikir apa yang perlu dilakukan untuk set seterusnya. Jadi, bagi saya, ia tidak mengapa (untuk berhenti rehat),” kata Osaka. - AFP