Bekas pemanah kebangsaan itu berharap, trio wanita negara diketuai Nur Aliya Ghapar dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dalam acara berpasukan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selain satu lagi emas disandarkan dalam recurve berpasukan lelaki.

“Bagi saya, sasaran dua emas itu tidak mustahil dicapai menerusi latihan intensif yang kita jalankan selama ini dan latihan pendedahan yang akan kita sertai dalam tempoh terdekat.

“Dari segi prestasi, kekuatan kesemua negara termasuk Vietnam, Filipina, Indonesia dan Singapura adalah sama, kecuali pada hari pertandingan di mana pemanah yang mengekalkan konsistensi panahan, mereka akan menang,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Marbawi yang merupakan jurulatih memanah wanita, skuad kendaliannya akan menyertai Kejohanan Asia ke-21 di Bangkok, Thailand pada November yang turut menjadi platform kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Nur Aliya yakin mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara recurve berpasukan wanita pada Sukan SEA KL 2017, sambil mendedahkan Indonesia dan Vietnam mungkin menjadi pencabar skuad negara untuk mempertahankan pingat emas.

Selain emas dalam acara recurve berpasukan wanita, Nur Aliya turut meraih pingat perak dalam acara recurve campuran, serta pingat gangsa dalam acara individu.

“Saya berharap pengalaman saya beraksi dalam empat temasya Sukan SEA sebelum ini dapat membantu saya dan rakan sepasukan mencapai keputusan positif di Filipina nanti,” jelas Nur Aliya. - BERNAMA