Misi ‘hidup mati’ Bunga Raya 15s

Misi ‘hidup mati’ Bunga Raya 15s

AKSI Skuad Bunga Raya 15s ketika tumpas 6-70 kepada Hong Kong dalam perlawanan kedua Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara tiada pilihan lain kecuali menumpaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi terakhir Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024, Jumaat ini.

Selepas tumpas dalam dua perlawanan awal kepada Korea Selatan (5-55) dan Hong Kong (6-70), skuad Bunga Raya 15s perlu menang bagi mengelak tersingkir ke Divisyen Premier.

Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Farid Syazwan menyedari tugas sukar menanti anak-anak buahnya selepas UAE melakar kejutan menumpaskan Korea Selatan 36-32.

“Secara jujurnya, apa yang kita nampak kena usaha dari sudut jentera serangan dan kita perlu menguasai bola dalam permainan. Di pertahanan, kita perlu halang mereka dari segi fizikal.

“Kami sedia maklum UAE mempunyai barisan pemain fizikal, naturalisasi dan ekspatriat. Namun, ini bukan alasan untuk kami tidak bersaing dengan mereka,” kata Farid.

Sebelum ini, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyasarkan untuk skuad Bunga Raya 15s menang sekurang-kurangnya satu perlawanan dalam saingan ARC 2024.

Selepas tumpas kepada Korea Selatan dan juara bertahan, Hong Kong dalam dua perlawanan awal, skuad negara perlu memberikan segalanya untuk pulang dengan kemenangan.

Selepas menjadi tuan rumah kepada Hong Kong dalam perlawanan kedua, skuad Bunga Raya 15s akan berkunjung ke Dubai pula untuk aksi seterusnya pada Jumaat ini.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia bertemu UAE adalah pada edisi 2015 yang mana skuad Bunga Raya menang tipis 20-19 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN