Dua kategori yang dimenangi VI itu adalah dalam saingan Bawah 15 tahun (B-15) dan B-13 lelaki.

Bukan itu sahaja, dua kemenangan berkenaan diraih ke atas seteru utama VI iaitu Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS).

Dalam saingan B-13, VI meraih kemenangan ke atas SMSS dengan keputusan 15-0 sebelum menjuarai aksi B-15 dengan keputusan 2-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 5-5 dalam aksi sebenar sekali gus menjulang gelaran sulung Piala Datuk Jawahar Ali.


Jurulatih VI, Nik Mohd. Sidek Nik Jaffar berkata, kejayaan meraih gelaran berganda itu sesuatu yang tidak dijangka terutama menerusi kategori B-13 kerana skuad itu baharu dibentuk kurang daripada 10 bulan.

“Untuk B-13 ini kita mula daripada kosong, selama 10 bulan kami menjalani latihan malah saya tidak menjangkakannya, semua ini berkat usaha barisan jurulatih dan pemain.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh leka kerana selepas ini ada misi yang lebih penting bagi kami iaitu Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 merebut Piala Datuk Sulaiman Daud di Ipoh, bulan depan,” kata Nik Mohd Sidek.

Selaku juara, VI membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM500, piala pusingan dan sijil, manakala SMSS menerima hadiah RM300 dan piala iringan selaku naib juara.

Terdahulu, dalam kategori B-11, Sekolah Kebangsaan Danau Kota dinobatkan juara selepas mengatasi pasukan pilihan SK Taman Seri Rampai A 22-5.

Hadiah dan piala pusingan disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Abd Halim Abd Samad.

Sementara itu, Penasihat Kejohanan Ragbi MSSWPKL, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata beliau amat berpuas hati dengan penganjuran edisi pertama ini yang dianggap mencapai objektif bagi menjadikan kejohanan ini platform mencungkil bakat muda.

“Sambutan yang diterima amat menggalakan dan saya berharap untuk edisi akan datang kami dapat memperluaskan kejohanan seumpama ini ke peringkat kebangsaan dengan kerjasama Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM),” kata Jawahar.- UTUSAN ONLINE