Kejohanan anjuran pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Rampai dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu dijadual berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober ini di padang Institut Perguruan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras.

Penasihat kejohanan tersebut, Datuk Jawahar Ali berkata, objektif utama penganjuran kejohanan tersebut adalah untuk membantu memperkasakan sukan ragbi di Kuala Lumpur di peringkat akar umbi.

“Ini adalah kali pertama kejohanan ini dianjurkan dan berharap ia akan menjadi satu platform terbaik bagi membantu menaikan minat sukan ragbi di Kuala Lumpur di peringkat sekolah.

“Ketika ini sebanyak 35 pasukan telah mengesahkan tempat dan sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam kejohanan ini iaitu melibatkan Bawah 15 tahun, Bawah 13 tahun dan Bawah 11 tahun.

“Dalam masa sama saya juga berharap kejohanan ini akan dapat menjadi satu kejohanan tahunan dan menjadi medan terbaik bagi mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi lagi,” kata Jawahar.

Antara penaja utama bagi kejohanan ini adalah MSSWPKL, Restoran Ali Maju, Yayasan Wilayah Persekutuan serta beberapa pihak swasta lain.

Johan kategori cup bagi setiap kategori akan membawa pulang wan tunai RM500, piala pusingan, piala iringan serta sijil manakala naib johan akan meraih RM300, pingat dan sijil.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan akan merasmikan kejohanan ini pada esok manakala penutup disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad.

Maklumat lanjut berhubung kejohanan ini boleh didapati menerusi laman sosial facebook, Kejohanan Ragbi Piala Dato Jawahar Ali.- UTUSAN ONLINE