Ketua Jurulatihnya, Bradley Moni Mika gembira dengan kemenangan pasukannya ke atas Kedah dalam perlawanan separuh akhir yang sengit dengan kemenangan tipis 27-20 tetapi beliau tidak mengambil perjalanan ke final dengan mudah.

"Tiada berubah untuk pasukan ini. Kami mengambil pendekatan bersederhana sepanjang kejohanan dan ia tetap sama sehingga ke final.

Ia adalah separuh akhir sukar ketika berhadapan Kedah yang bermain dengan baik dan memberikan kami tentangan hebat. Sabah juga berhadapan keputusan sukar oleh pengadil tetapi saya gembira pasukan ini tetap tenang dan fokus untuk menyelesaikan tugas mereka," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ragbi Sabah, hari ini.

Sikap yang dipamerkan oleh pasukan ini sememangnya satu sisi positif yang lahir semasa perlawanan menentang Kedah tetapi para pemain tidak boleh mengikut perasaan kerana ia akan menjadi lebih sukar di final, katanya lagi.


Mika berkata seperti Kelantan, Sabah juga mahu memenangi piala ini.

"Kami perlu berjuang habis-habisan dan semoga yang terbaik menang. Kami tidak mempunyai pasukan kegemaran yang kami mahu bertemu di final kerana kami menghormati setiap pasukan, kata Mika yang pasukannya tidak menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Johor menentang Kelantan selepas perlawanan mereka Rabu lepas.

Tetapi kami tidak gentar dengan mana-mana pasukan kerana kami bermain menggunakan kekuatan dan starategi kami. Kami percaya pada diri kami dan bekerja keras untuk apa yang kami patut dapat," kata beliau.

Mika berkata pasukannya bekerja keras terutamanya dalam kecergasan dan kekuatan dan satu lagi mata bonus untuk pasukan ini ialah mereka mempunyai gandingan mantap pemain muda dan yang berpengalaman.

Sabah sudah tentunya mengharapkan bekas pemain All Black, Charles Luke McAlister untuk berkongsi pengalamannya dan membimbing pauskan itu. Beliau telah memainkan peranannya yang penting dalam perlawanan suku akhir dan separuh akhir.


Kapten pasukan yang berusia 35 tahun itu telah keluar daripada persaraannya untuk mewakili Sabah. Beliau mengumumkan persaraannya tahun lepas selepas kerjaya profesionalnya selama 16 tahun berakhir di Kelab Toulon, Perancis.

Walaupun, pasukan ini mengharapkan McAlister untuk menambahkan kekuatannya dan memberi bimbingan, Mika berkata semangat berpasukan masih diutamakan.

"Setiap anggota pasukan, sama ada pasukan pemula atau di bangku simpanan, kesemua mempunyai peranan dan mereka semua sama pentingnya kepada pasukan," kata Mika.

Sabah yang mula layak ke final Piala Agong pada 2005 tetapi tewas, meneruskan perjuangan untuk muncul juara pada 2007, 2009, 2014 dan 2015.

Daripada 28 anggota pasukan sekarang, tujuh daripadanya berusia antara 17 hingga 22 tahun termasuk beberapa pemain yang mewakili Sabah ke Sukan Malaysia (Sukma) 2018 baru-baru ini

Antara pemain senior yang bakal mengukuhkan pasukan ini termasuk Badrul Muktee dan bekas pemain kebangsaan Zamorin Mingo. - BERNAMA