Jurulatih negara, Saizul Hafifi Mohd. Noor berkata, tujuh pemain baharu Program Universiti dan Program Pembangunan Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) mampu menggantikan pemain berpengalaman yang pernah menaiki podium pertama dalam temasya Kuala Lumpur 2017.

“Rombakan pasukan dibuat untuk temasya kali ini, yang mana kami membawa masuk beberapa pemain baharu.

“Mereka yang diserap setakat ini tampak ada perkembangan positif dan mampu memberi kesan baik.

“Rombakan dibuat selepas kami kehilangan dua atau tiga pemain berpengalaman. Harap mereka dapat memberikan impak besar.

“Kami juga berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan pemain lama selain memberikan komitmen tinggi untuk mempertahankan pingat emas,” kata Saizul dalam sidang akhbar Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Katanya, kesemua tujuh pemain baharu itu akan diadun bersama sembilan lagi jentera yang memenangi emas dalam edisi 2017.

Pada edisi lalu, skuad ragbi 7s memenangi emas selepas me­nundukkan Singapura 22-7 dalam perlawanan akhir.

Skuad ragbi wanita negara pula mencatat kejayaan membanggakan apabila memungut gangsa setelah menumbangkan Filipina 7-5 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Mengulas lanjut Saizul berkata, antara negara yang mampu memberi tentangan sengit adalah tuan rumah, Singapura selain Thailand yang menunjukkan peningkatan selepas membawa masuk jurulatih dari luar.

“Hujung November nanti kami akan sertai kejohanan kelayakan ke Olimpik di Korea Selatan dan matlamat kami untuk melihat prestasi pasukan sebelum ke Sukan SEA, (bagaimanapun) tiada mengatakan sasaran besar untuk ke Sukan Olimpik.

“Filipina dan Singapura turut sertai kelayakan tersebut. Jadi saya rasa nanti kita boleh lihat prestasi kedua-dua pasukan dan menilainya sebelum melakukan persiapan akhir ke Manila,” katanya.