Jurulatih negara, Saizul Hafifi Mohd. Noor berkata, tujuh pemain baharu daripada Program Universiti dan Program Pembangunan Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) itu dilihat mampu memberi kesan positif terhadap ketiadaan beberapa pemain berpengalaman yang pernah menaiki podium pertama pada temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

“Rombakan semula barisan dibuat untuk temasya kali ini, di mana kami membawa masuk beberapa pemain baharu. Mereka yang diserap setakat ini kami nampak ada perkembangan positif dan mampu memberi kesan baik kepada prestasi pasukan.

“Rombakan itu dibuat selepas kami kehilangan dua atau tiga jentera berpengalaman tetapi tempat itu sudahpun diisi dengan pemain baharu. Diharap mereka dapat memberikan impak besar terhadap skuad kebangsaan.

“Kami juga berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan pemain lama selain memberikan komitmen tinggi serta kematangan dalam usaha mempertahankan pingat emas," kata Saizul dalam sidang akhbar Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Tambahnya, kesemua tujuh pemain baharu itu akan diadun bersama sembilan lagi jentera yang pernah memenangi emas dalam edisi 2017.

Pada edisi lalu, Skuad ragbi 7 sebelah negara menangi emas selepas menundukkan Singapura, 22-7 dalam perlawanan akhir di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Skuad ragbi wanita negara pula mencatatkan kejayaan membanggakan apabila memungut gangsa setelah menumbangkan Filipina, 7-5 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Mengulas lanjut Saizul berkata, antara negara yang mampu memberi tentangan sengit adalah tuan rumah, Singapura selain Thailand yang menunjukkan peningkatan selepas membawa masuk jurulatih dari luar.

“Hujung November nanti kami akan sertai kejohanan kelayakan ke Olimpik di Korea Selatan dan matlamat kami untuk melihat prestasi pasukan sebelum ke Sukan SEA, (bagaimanapun) tiada mengatakan sasaran besar untuk ke Sukan Olimpik.

“Filipina dan Singapura turut sertai kelayakan tersebut. Jadi saya rasa nanti kita boleh lihat prestasi kedua-dua pasukan dan menilainya sebelum melakukan persiapan akhir ke Manila,” katanya.- UTUSAN ONLINE